RSS Feed

Category Archives: cordless meditation

Cordless Meditation ep2

Posted on

“hahh..kamu lagi!!!” kata Tuan Hakim yang sebenarnya Puan Hakim… atau lebih spesifik lagi, Cik Hakim.
ya, hakim itu masih belum berpunya.

Terlalu asyik menghukum orang mungkin. Lalu diri sendiri turut terhukum oleh Karma Cinta.

Kata-kata itu tidak berjawab. Tak perlu di jawab pun. Sebabnya aku dah lebih 8 kali berjumpa beliau. Termasuk tahun lepas. Jenuh. Dan beliau juga jenis kurang bergurau.

Kalau setiap kali berjumpa dan aku mengurat beliau, sudah tentu kami dah bersenggama sebanyak 7 kali. Pasti.

Dan seperti kebiasaan aku di ‘berdiri’ kan di sebuah pentas kecil berpagar atau lebih dikenali sebagai kandang pesalah. Berdiri. Tiada kerusi untuk aku duduk.

“tap!!! tap!!! tap!!! Cik Hakim mengetuk-ngetuk meja menandakan perbicaraan akan bermula. Tiada taklimat mahupun briefing diberikan. Sebabnya, aku dah hafal tiap baris ayat taklimat tersebut.

Kucing Kiupid dan Pipit Rindu cepat-cepat duduk di bangku penjuru mahkamah. Takut kena sound macam yang lepas-lepas.

Tangan aku masih bergari. Berikat sebenarnya. Berikat dengan tangkai mawar putih. Pedih menyucuk-nyucuk. Darah merembes-rembes.

“baiklah…saya akan bacakan pertuduhan sekarang…awak si tertuduh, sila dengar dan jangan berkata apa-apa sebelum diizinkan…” Cik Hakim bersuara lantang. Tapi tetap seksi bagi aku. Suara Cik Hakim.

Sebenarnya ayat itu pun aku dah hafal. Cuma sepatutnya ada perkataan “faham?…” di hujung ayat tersebut. Sengaja Cik Hakim tak nak menyebut.

Sebabnya aku akan sentiasa menjawab “tidak” setiap kali diajukan soalan tersebut.

“kamu wahai tertuduh, pihak pendakwa membuat pertuduhan bersabit dengan kesalahan mencuri. Kamu dituduh mencuri……”

“Cik Hakim!!!” aku memintas sebelum Cik Hakim habis membaca pertuduhan.

“jangan berkata apa-apa selagi belum diizinkan!!! dan jangan panggil saya Cik Hakim…panggil Yang Arif !!!” Cik Hakim bersuara. Lantang. Tetapi masih seksi bagi aku. Suara itu.

“tapi Cik Hakim…errr …tapi Yang Arif” aku menyambung.

“diam atau awak akan dihukum kerana menghina mahkamah!!!” sekali lagi Cik Hakim melenting. Dan untuk kesekian kali, aku masih merasakan suara itu seksi.

“Yang Arif, saya betul-betul……”

“diam!!!” Cik Hakim terus memintas. ya. dengan begitu seksi sekali. Suara beliau.

“Yang Arif…belakang saya gatal…boleh tak sesiapa tolong garu kan….plissss” aku dah tak keruan. Hilang pertimbangan.

“hukum pun hukum lah” kata aku dalam hati.

“macam-macam hal..kamu langsung tidak menghormati bla bla bla bla…..!!!” Cik Hakim membebel sambil mencebik-cebik bibir beliau mengarahkan polis cinta menggaru-garu belakang aku.

Di atas bangku sudut mahkamah Kucing Kiupid tergelak-gelak sambil menunjal paruh Pipit Rindu yang sedang asyik bermain apps IPad nya.

“babi!!!…” kedengaran Pipit Rindu mencarut. Tercincang bom barangkali dalam game Fruit Ninja.

 

bersambung

cordless meditation

Posted on

“hoii pencuri!!!” terdengar teriak seorang makcik. Betul-betul di perkarangan mahkamah. Semakin lama semakin hampir.

Aku hanya mampu tersenyum sambil perlahan-lahan memaksa anak mata ini untuk memandang makcik itu.

“semoga berjaya…” makcik itu berkata lagi. Kali ini lebih perlahan.

Aku senyum lagi…aku tahu makcik itu berseloroh.

Makcik Jenah…peniaga sukun goreng di hadapan Mahkamah Cinta

Tahun ini dah 3 kali aku berhadapan dengan Makcik Jenah. Secara matematik mudah, sudah 3 kali juga aku di hadapkan di Mahkamah Cinta. Tahun lepas 5 kali. Itu pun selepas bulan Jun.

“jalan lahh…” kata salah seorang polis cinta yang ditugaskan untuk mengiringi aku ke Mahkamah Cinta. Marah barangkali gara-gara aku terhegeh-hegeh melayan senyuman Makcik Jenah.

Di sudut bangunan Mahkamah Cinta, Kucing Kiupid dan Pipit Rindu masih tersengih-sengih. Mengejek mungkin.
Melihatkan riak wajah aku yang sedikit bengang, Kucing Kiupid perlahan-lahan menunjukkan isyarat ibu jari tanda bagus. Dan Pipit Rindu pun terhanguk-hangguk.

Pergelangan tangan aku pedihnya bukan kepalang. Darah menitik-nitik akibat terkena duri mawar putih. Ya. Itulah yang selalu aku rasai kalau di bawak mengadap ke Mahkamah Cinta.

Di Mahkamah Cinta, para pesalah akan di gari dengan setangkai mawar putih. Berbelit-belit durinya di pergelangan tangan. Dah mawar putih itu perlahan-lahan menjadi merah kerana titisan darah para pesalah.

Dan sebagai hukuman. Sekiranya bersalah. Bunga itu akan di gunakan untuk melamar si pendakwa. Ya. Mawar merah.

Lambang cinta. Rela atau tidak, bergantung kepada………

 

MAHKAMAH CINTA

 

bersambung

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.