Hati Roman berdebar sekali lagi. Kali ini agak gemuruh dari yang awal tadi. Matanya masih lagi terpejam rapat. Tak ingin rasanya dan tak mungkin Roman akan bertentang mata dengan makhluk-makhluk alam ghaib ni. Angin malam yang tadinya meniup wajah Roman sudah tiada lagi dan motor seakan terhenti secara tiba-tiba. Roman semakin kusut dan dipejamkan matanya rapat-rapat. Motor yang dinaiki Roman dan Mr James semakin senget ke sebelah kiri dan Roman tidak mampu berbuat apa-apa lagi selain berdiam diri dan terus memejamkan matanya. Tiba-tiba Roman terdengar satu suara garau diikuti dengan sentuhan yang lebih kepada pelempang mini ke pipinya.
“dahh..turun!!..dah tau ngantuk tadi, tinggal je la kat rumah” setelah beberapa saat, baru lah Roman dapat mengenalpasti suara itu datangnya dari Mr James yang menyangkakan Roman tidur dalam perjalanan. Perlahan-lahan Roman membuka matanya risau juga kalau2 bunian lombong meniru suara bapanya itu.
Namun tiada apa pun yang berlaku semuanya seperti biasa. Roman termenung sejenak melihat lombong yang luas dan bintang-bintang berkerlipan di angkasa. Teringin juga Roman menyuarakan hasrat hati untuk mengajak Mr James dan keluarga berpindah kesitu, tetapi terpaksa dilupakan hajatnya itu sebab Roman tahu yang bapanya masih lagi panas hati gara-gara kejadian di kebun sawit tadi.
Mereka pun turun ke tebing lombong untuk memancing. Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Roman ketika turun ke tebing. Sesekali ingin juga Roman mengambil ranting kayu untuk dijadikan tongkat tapi risau pula kalau-kalau ranting kayu itu akan digunakan untuk membesit peha Roman nanti.
5 minit berlalu, Roman sabar menunggu Mr James memancing. Dalam hatinya ada juga sedikit doa-doa dibaca agar Mr James murah rezeki dan mendapat ikan dengan cepat. Tapi dalam keadaan berhadas ni, mungkin doa murah rezeki agak susah untuk makbul.
15 minit kemudian keadaan masih lagi sama. Roman sudah tidak mampu untuk mengira berapa kali Mr James membaling umpan kedalam lombong tersebut. Terdetik juga dihati meragui kehebatan Mr James yang kononnya tidak pernah pulang dengan tangan kosong setiap kali keluar memancing tapi disangkalnya cepat-cepat sebab Roman tahu bapanya memang hebat.
Sudah setengah jam Roman menunggu, seekor ikan pun masih tak muncul. Roman mula terbayang wajah Mr James yang tersengih-sengih sedang membeli ikan dengan pemancing lain untuk di bawa pulang semata-mata untuk mengatakan yang dia tidak pernah pulang tangan kosong. “ahhh..abah pun orang jugak…takkan la abah tak pernah tipu” bisik Roman dalam hati.
“bah..pinjam torchlight.nak suluh anak ikan la kat tepi-tepi..tak jauh, kat tepi ni je” Roman sudah mula panas bontot dan idea pun datang secara tiba-tiba.
“nah..jangan jauh-jauh..jangan main air..suluh-suluh aje”..Mr James menghulurkan lampu suluhnya sambil memberi sepotong nasihat.
Roman bingkas bangun dan mengambil lampu suluh dari tangan bapanya itu. Niat hatinya tak lain adalah untuk menangkap anak-anak ikan di gigi air. Sekarang Roman akan buktikan siapa yang lagi hebat menangkap ikan.
Berbekalkan lampu suluh di tangan kanan dan sebatang kayu di tangan kiri, Roman memulakan pemburuan. Kelihatan titik-titik merah di gigi air apabila Roman menghalakan lampu suluhnya. Roan tahu ianya adalah mata-mata ikan yang terpantul oleh cahaya lampu suluhnya itu.
“zasss..prapppp” Roman memulakan acara mengetuk kepala ikan. Air-air memercik menyebabkan seluar Roman basah. Lampu suluh dihalakan semula kedalam air dan Roman mula mencari kalau-kalau ada ikan yang menjadi mangsanya. Untung-untung esok bolehlah Mdm Carol masak lauk anak ikan lombong. Roman mula terbayang-bayang pujian daripada Mdm Carol atas kehebatannya menangkap ikan yang mana serta merta menjadikannya harapan keluarga untuk mencari lauk pauk makanan harian.
Suluh kekiri, suluh kekanan, seekor ikan pun tak mati. Semua masih segar seperti tadinya. Roman sabar, dan sekali lagi Roman menghempas ranting kayu itu kedalam air dan kali ini Roman yakin yang pukulannya itu tepat mengenai ikan yang sedang khayal tadi. Dan sekali lagi…Roman hampa.
Berkali-kali Roman mencuba skil memburu anak ikan itu tetapi masih lagi tak berhasil. Dan secara tiba-tiba….
Darah Roman seakan berhenti mengalir. Terdengar dengusan yang maha dahsyat dibelakangnya. Rumput-rumput liar dibelakang Roman seakan-akan dihinjak oleh makhluk yang sangat ganas. Bunyi dengusan nafas seakan makin hamper dan Roman terpaksa menghentikan buruannya untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Tangan Roman disentap dan secara langsung ianya membuatkan Roman seakan-akan hilang arah dan hampir pengsan. Roman tidak mampu menjerit kerana tangannya dicengkam dengan begitu kuat sekali. Tenaga dari tangan makhluk tersebut seakan tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Apa yang mampu dilakukan oleh Roman adalah mengikut sahaja kemana arah badannya diheret.
“budak bertuah!!malam-malam macam ni nak merayap-rayap tepi lombong!!kang dah kene patuk ular ke, aku jugak yang susah.orang nak memancing pun tak senang.dah jom balik!!!!” Roman pasti suara itu datangnya dari makhluk yang menarik tangannya dan ia adalah Mr James yang kelihatan begitu bengang dengan tindakan Roman. Sesekali terdengan bebelan Mr James yang menyalahkan Roman memukul air kerana dikatakan ianya menyebabkan ikan-ikan lari tapi Roman redha sebab dia tahu yang bapanya memang tak hebat sangat memancing.
Sampai dirumah, Roman terus masuk kebilik. Diambilnya buku latihan darjah dua yang menjadi diari hidupnya. Perlahan-lahan Roman menconteng perkataan “askar” yang berada sebaris dengan perkataan “cita-cita saya” dan Roman terus menukarnya kepada perkataan “saintis”.