RSS Feed

Category Archives: si halim

Halim sikit lagi

Posted on

Halim tersenyum. Tersenyum simpul. Mujur bibirnya tebal dan tidak mampu tersimpul seperti simpulan bahasa orang-orang terdahulu. Entahkan dari mana mereka mendapat idea untuk membuat simpulan bahasa sebegitu rupa. Terlebih imaginasi barangkali.

Kali ini Halim tidak terpedaya lagi. Betul… itulah LRT yang sebenar. LRT yang perlu dinaiki untuk pergi ke pejabat. Pergi ke pejabat untuk bekerja mencari rezeki. Bekerja untuk 3 jam.

Selebihnya Halim lebih gemar berborak, berjalan-jalan ke tingkat atas pejabat untuk mengusik gadis-gadis HR. Halim juga gemar menonton klip-klip video lama di Youtube. P Ramlee kebiasaannya.

Sebenarnya bukan Halim tak boleh menonton cerita P Ramlee di Astro Prima. Tapi memang perangai Halim dah semula jadi pelik dan kadang-kadang mengundang penerajang dari rakan sepejabat.

Satu..dua…tiga..empat…lima…Halim mengira dalam hati dan lantas tersenyum. Pintu LRT yang ke enam. Ya, itulah pintu kebahagiaan yang dijanjikan dengan gadis semalam.

Pintu tak sempat buka habis, Halim dah melangkah masuk. Kaki kanan. Nak ambik berkat mungkin. Sebelum tu Halim mengusap-usap mukanya dengan tapak tangan. Bukan berdoa tetapi cuba untuk mencium bau nafas sendiri.

Hal-hal berkenaan masa depan ni tak boleh buat main-main.Tak sanggup Halim menderita terlepas gadis LRT yang comel itu, hanya kerana nafasnya berbau bawang putih di pagi hari.

Jantung Halim berdegup laju. Semakin lama semakin laju. Pori-pori peluhnya mula kembang kuncup. Mukanya terasa panas. Bulu-bulu roma mula tegak satu persatu gara-gara senyuman gadis LRT di pagi hari.

Biasanya Halim lebih senang berdiri di tepi pintu sahaja. Tak kuasa Halim nak berasak-asak sampai ke tengah perut gerabak LRT itu. Lagipun kalau berdiri di tepi pintu, boleh bergesel-gesel dengan gadis-gadis yang berasak-asak hendak masuk atau keluar LRT.

Halim bukanlah seorang yang gila seks. Tapi Halim hanya pasrah dengan apa yang berlaku. Selagi Halim mampu, Halim akan mengelak dari bergesel-gesel. Tapi kebiasaannya Halim tak mampu.

Kakitangan kerajaan, pekerja pusat membeli belah, aci lingkungan 40an, dua orang lelaki metroseksual, seorang murid sekolah antarabangsa, seorang lelaki yang sedang tersengguk-sengguk menahan ngantuk dan seorang pakcik tali leher dalam poket.

Semuanya Halim tolak, Halim singgung, Halim celah. Semata-mata untuk berdiri di sebelah gadis LRT.

Halim sedikit hampa. Tanda nama gadis LRT itu tidak kelihatan. Dalam tas tangan barangkali. Yang Halim ingat hanya S.H.E.E. ahhh…pedulikan semua itu. Bukannya Halim hendak menikah sekarang. Kadang-kadang sesuatu yang misteri itu lebih mengasyikkan. Fikir Halim sambil menggaru-garu belakang kepalanya.

“haii….selamat pagi”…Halim mula bersuara. Tangannya sengaja menggosok-gosok hidung. Langkah berjaga-jaga takut bau nafasnya tidak disenangi.

Gadis LRT tidak menjawab. Hanya tersenyum.

“good morning…”Halim bertindak lagi. Kali ini suaranya di tekan sedikit. Keningnya diangkat. Bahasanya gaya anak orang berada.

Gadis LRT tersenyum lagi. Kali ini agak lebar. Ternampak sedikit gusinya. merah. Menandakan gadis itu bukan seorang perokok dan bukan seorang yang malas menggosok gigi. Tetapi, hanya senyuman. Hanya sekadar reaksi di bibir.

Halim berdebar. Mana mungkin gadis itu bisu. Sedangkan semalam Halim baru bercakap dengannya.

Apakah gadis itu juga bimbang mulutnya berbau? Halim tak pernah kisah tentang itu. Asalkan gadis itu sanggup melahirkan zuriat Halim, semuanya beres. Busuk atau wangi bukan satu kepentingan lagi.

“waalaikumussalam…” Halim terdengar suara yang sangat merdu. Gadis itu menjawab. Bukan ‘selamat pagi’ atau ‘good morning’. Telinga Halim berdesing. Gegendang telinga Halim ibarat disodok-sodok dengan putik kapas cap bayi berjambul.

Gadis LRT tidak lagi tersenyum. tapi mula tersengih. Kali ini giginya jelas kelihatan. Bersih…tiada cili yang terlekat. Belum bersarapan barangkali.

Halim hanya mampu tersengih juga. Tangannya secara automatik menggaru pangkal sideburn.

“err..err…hmmm..assalamualaikum” kata Halim.

Gadis itu terus tersengih dan tergelak kecil. Kali ini lidahnya pula kelihatan. Bersih. Dan yang penting, tiada bau yang kurang menyenangkan.

“stesen berikutnya Masjid Jamek…..next station Masjid Jamek”…Halim tersentak. Suara itu biasa didengar. fasih sebutannya dan seakan-akan bergema. Dan memang suara yang sama. Setiap hari. Tak pernah serak mahupun sengau.

Masa semakin suntuk. Halim harus bertindak dengan cepat…

bersambung…

Halim yang halim

Posted on

tapi Halim tidak pernah terfikir yang senyuman itu mungkin membawa maksud “yela..dah memang saya terpaksa naik LRT ni dengan awak…nak tak nak, kena la jumpa jugak“.

senyuman memang memberi sejuta makna. dan senyuman juga pandai menipu.

SEDUTAN EPISOD LEPAS

Halim dah sampai. Sampai di stesen LRT. Halim berjalan penuh yakin walaupun jantungnya bergerak laju. Laju seperti sebuah kereta Ferrari yang mencecah R.P.M 18…atau selaju jet pejuang yang hendak meninggalkan landasan?

Oh tidak…kelajuan degup jantung Halim hanyalah sekitar 90 degup seminit. Seandainya jantung Halim berdegup selaju kereta Ferrari mahupun jet pejuang, pastinya Halim telah lama mati dan tubuhnya telah lama hancur akibat di sebat oleh malaikat penjaga kubur.

Sheeren atau Sheera?…atau mungkin juga Sheema? Sebab wanita milenium memang gemar memanjangkan nama mereka dengan penambahan huruf vokal yang sama bunyian.

Halim tak pasti kerana peristiwa hari semalam begitu pantas. Halim hanya sempat menjeling sepintas lalu kad nama yang tergantung di leher gadis itu. Halim hanya mampu merakamkan empat huruf di depan sahaja iaitu “S.H.E.E”.

sekiranya Halim masih berkeras untuk melihat dengan lengkap nama gadis tersebut, nescaya tubuhnya akan disepit oleh pintu LRT yang maha kejam itu.

Namun Halim pasti gadis itu tidak bernama “Sheep”. Mana mungkin seorang ibu bapa yang waras dan mampu melahirkan zuriat, akan menamakan anak mereka “Sheep”?

Kecuali untuk wanita milenium yang memang gemar menggunakan nama samaran yang pelik untuk kad nama mereka. berfantasi mungkin.

Aahhh persetankan!!!…Halim tak peduli…sikitpun…yang penting Halim telah berjaya mengikat perjanjian untuk berjumpa semula dengan gadis LRT itu hari ini.

Halim berjalan laju. Kakak penjaga kaunter tiket tu dijeling tajam. Kad Touch N Go ditangan sengaja diangkat tinggi-tinggi biar kakak penjaga kaunter tiket itu nampak.

Dari jauh Halim terdengar bunyi LRT datang. Ya…Halim memang cukup kenal dengan bunyi itu. Bunyi LRT.

Secara pantas Halim berlari. Beg bimbitnya didakap kemas supaya tidak mengganggu larian. Eskalator dilangkah seperti anak tangga batu. Pemuda pemudi yang mamai-mamai berdiri di eskalator semuanya Halim langgar.

Halim tak punya masa lagi untuk mengelamun. Halim perlu sampai sebelum LRT itu sampai. Namun….

Bak kata pepatah orang-orang terdahulu ‘ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari’…

Penat lelah Halim mendaki anak tangga eskalator yang sepatutnya tak perlu langsung untuk didaki dan hanya perlu berdiri sahaja untuk sampai ke atas…

Penat lelah Halim mengejar waktu demi untuk memastikan LRT itu tidak terlepas dan meninggalkannya terpinga-pinga…

Semuanya hanya sia-sia…ya, sia-sia

Sia-sia Halim membakar kalori begitu pantas.

Sia-sia Halim membuat jantungnya bekerja keras.

Sia-sia Halim mengeluarkan peluh yang secara langsung membuat tengkuknya basah dan melekit.

Halim melangkah longlai di tepi landasan LRT. Tubuhnya dirasakan melayang. Semuanya gara-gara LRT yang sedari tadi dikejar dengan penuh matlamat dan kesungguhan.

Benar, LRT itu mengecewakan Halim. Bunyi LRT itulah yang menjadi punca.

Halim hanya mampu berkelip sampil mengusap-usap tengkuknya yang melekit.

LRT yang berbunyi pantas, LRT yang dari tadi menjadi punca dia berkejaran, rupanya menghala ke arah bertentangan…

Benar, LRT itu berada di landasan sebelah dan bukanlah LRT yang sepatutnya dinaiki Halim. Bukan juga LRT yang layak dikejar oleh Halim.

Halim pasrah…

45 saat berlalu, Halim kembali senyum. Kali ini senyumannya sangat pasti. Senyumannya diukir kemas sekali.

Halim tersenyum…

bersambung…

halim tak salah laaa…

Posted on

ok siap!!!” getus Halim dalam hati. dadanya yang lebih kepada berlemak tu di tegapkan dan sesekali tangannya mengibas2 lengan baju untuk membuang segala habuk agar nampak…kemas.

sambil menuju ke pintu, kakinya sempat menyepak lutut Jeman yang sedang nyenyak tidur. pedih pulak hatinya melihat Jeman sedang lena tidur sedangkan Halim terpaksa bangun awal mencari rezeki. tapi bukan salah Jeman pun sebab tempat kerja Jeman hanya terletak di bawah flat. Jeman bekerja di cyber cafe bawah flat mereka tinggal. sebab tu la Jeman boleh bangun pukul 8.59 pagi dan buka kedai pukul 9.00 pagi.

perlahan-lahan Halim merapatkan pintu. Halim bukan jenis yang sopan santun tapi keadaan tombol pintu yang hampir tercabut menyebabkan dia menutup pintu dengan penuh hati-hati sambil badannya mengelak-ngelak dari terkena grill besi pagar. berhabuk. kalau terkena kat baju…tak kemas.

Halim menuruni anak tangga flat tingkat 6 dengan penuh hati-hati. langkah yang perlahan tapi pasti. selepas ini dia akan menempuhi perjalanan sejauh 400meter sebelum sampai ke stesen LRT. setiap inci langkahnya di atur kemas. daya gerakan dan momentum tenaga di susun sebaik mungkin. kalau boleh, Halim tak nak setitik peluh pun keluar dan membasahi bajunya kerana baginya ‘kerana peluh setitik, rosak bau perfume sebotol’.

stesen LRT semakin hampir dan tak semena-mena degupan jantungnya semakin kencang. bukan kerana dia ternampak hantu, juga bukan sebab dia bertembung depan perompak malah juga bukan sebab LRT dah sampai. tetapi jantungnya berdegup kencang sebab Halim termengah-mengah kesan daripada berjalan kaki sejauh 400 meter.

Halim dah selamat sampai ke stesen LRT. perlahan-lahan dia mengatur nafas yang dah tak tentu hala. tapi sesekali sempat juga dia mencium bajunya. takut kalau bau perfume Dashing nya lenyap ditelan bau peluh.

hari ini bukan hari yang biasa. hari ini semuanya harus dilakukan dengan kemas dan rapi. hari ini adalah hari Halim akan bertemu lagi dengan gadis LRT. ya…Halim memang menamakannya wanita itu sebagai “gadis LRT”.

gadis yang telah beberapa kali bersamanya di dalam LRT dan telah beberapa kali terserempak. malah Halim juga tak lepas dari menyaksikan bagaimana gadis itu terhantuk besi pemegang dalam LRT akibat terlelap ketika sedang berdiri. namun perkara itu dianggap ‘comel’ bagi Halim. mungkin sebab hatinya telah terpaut dengan gadis LRT tersebut.

dan setelah beberapa hari mereka berkomunikasi menggunakan deria mata, deria yang tak sepatutnya digunakan untuk berkomunikasi namun Halim menganggapnya sesuatu yang romantis, semalam adalah hari yang paling bersejarah. semalam juga pertama kali Halim menggunakan lisan untuk berkomunikasi dengan gadis LRT.

esok kita jumpa lagi…” Halim teringat kata-katanya semalam kepada gadis LRT. ianya dibalas dengan senyuman yang cukup-cukup membuatkan Halim terkhayal hingga dia hampir-hampir di sepit oleh pintu LRT yang tak mengenal mangsa itu.

Halim yakin senyuman itu cukup untuk menggantikan “baiklah..” atau “ya…” sebagai jawapan dari gadis LRT.

tapi Halim tidak pernah terfikir yang senyuman itu mungkin membawa maksud “yela..dah memang saya terpaksa naik LRT ni dengan awak…nak tak nak, kena la jumpa jugak“.

senyuman memang memberi sejuta makna. dan senyuman juga pandai menipu.

bersambung

p/s: makin banyak dapat, makin tak cukup. ya Allah. bantu aku…selalu


halim tak salah…sumpah!!!

Posted on

aku terjumpa gambar ni masa kemas2 HD. ni antara gambar terawal dengan cik Tamron

dalam remang-remang cahaya mentol, kelihatan hidung Jeman kembang kempis. Jeman yang sedang nyenyak melingkar atas toto masam kelihatan terkesan dengan bauan perfume Dashing yang dipakai Halim. pagi ini tidak seperti selalu. 5 kali botol Dashing tu dipicit dan dihalakan ke tengkuk dan 3 kali lagi ke perut.

Halim tersenyum puas, sambil sesekali mengetatkan tali leher agar tampak lebih kemas dan kedap. kepalanya agak pening selepas terhidu bauan Dashing yang disembur secara tidak beragak itu.

setelah puas dengan gaya rambut, kepala tali pinggang pun dah center, baju kemejanya pula yang digayakan. perlahan-lahan Halim menarik bajunya keluar. kalau boleh biar setengah inci je keluarnya dan jangan sampai menutup tali pinggang. kalau menggelebeh sangat tu maknanya…..tak kemas.itu tanggapan Halim tentang fesyen berkemeja ala2 eksekutif seperti yang selalu dilihat di kaca televisyen.

ya…pagi ini tidak seperti pagi-pagi yang biasa. stokin pun digayakan dengan cermat dan kemas. bahagian bucu stokin mestilah betul-betul tepat ke ibu jari kaki. tak boleh senget walau sedikit pun. kalau senget bermakna…..tak kemas.

kalau tak kemas maka…..tak hensem.

kalau tak hensem maka hari ini takkan jadi…..hari yang legenda.

“pappp!!!…paapppp!!!” tapak kasut kulit dilagakan sesama sendiri. berkepul-kepul debu bercampur batu-batu kecil terhambur keluar. selepas digayakan, tali kasut pun Halim kemaskan biar rapi. orang putih cakap, biar “balanced”. kalau boleh riben belah kanan sama panjang dengan yang kiri. kurang 1cm bermakna tali akan singkat sebelah…..tak kemas.

bersambung…(bos aku panggil pulak)

preview family day Sungkai 1-2 Mei 2010

p/s: aku dah terpilih menjadi ‘JUNIOR’..alhamdulillah..pelan2 kayuh..wooooottt..wooootttt

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.